SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited untuk terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan dengan mengekalkan momentum kecemerlangan yang dicapai melalui pemerkasaan jaringan kerjasama strategik bersama agensi-agensi dalam negara.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Kerjasama Persefahaman antara SPRM dengan Agensi Dalam Negara, Datuk Junipah Wandi berkata, usaha itu penting bagi memastikan setiap kerjasama yang dimeterai tidak hanya bersifat formal sebaliknya diterjemahkan menerusi pelaksanaan aktiviti yang aktif, berimpak tinggi dan relevan dengan keperluan semasa.
Menurut beliau, SPRM telah menunjukkan komitmen berterusan selama 27 tahun sejak 1998 dalam memperkukuh integriti dan memerangi rasuah melalui jaringan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi dalam negara.
“Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 48 agensi telah terlibat dalam pelbagai bentuk kerjasama dengan SPRM, sekali gus mencerminkan kepercayaan dan sokongan kukuh terhadap peranan institusi ini.
“Rekod tahun lalu pula menunjukkan sebanyak 24 kerjasama persefahaman masih berkuat kuasa dan aktif, sekali gus menjadi platform penting dalam memperkasa pelaksanaan inisiatif pencegahan rasuah secara bersepadu dan berimpak tinggi di peringkat nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kerjasama Persefahaman antara SPRM dengan Agensi Dalam Negara Siri 3 Bil. 1 Tahun 2026 di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar; Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan (BDPP) SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim selaku ketua sekretariat, Timbalan-timbalan Pengarah serta pegawai kanan bahagian dan negeri SPRM.
Dalam pada itu, Junipah juga menggesa semua pengarah, timbalan pengarah serta wakil bahagian dan SPRM negeri supaya memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan setiap inisiatif kerjasama dilaksanakan dengan penuh komitmen dan sokongan strategik.
Beliau turut menekankan kepentingan pengukuhan kerjasama dalaman antara bahagian di ibu pejabat dan SPRM negeri bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta memastikan reputasi SPRM sebagai institusi pencegahan rasuah terus diyakini.
Selain itu, peneraju kerjasama juga digalakkan untuk menterjemahkan terma rujukan dalam dokumen persefahaman secara lebih dinamik dengan mengambil kira isu semasa serta memanfaatkan teknologi terkini seperti teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurut beliau, penggunaan teknologi tersebut berpotensi meningkatkan kecekapan dalam pengumpulan data, memperluas capaian komunikasi dan memperhebatkan usaha promosi serta hebahan berkaitan pencegahan rasuah.
“Melalui pendekatan yang lebih bersepadu, inovatif dan berorientasikan impak ini, SPRM optimis untuk terus memperkukuh keupayaan institusi dalam mendepani cabaran semasa serta memperkasakan agenda pencegahan rasuah demi kesejahteraan negara,” katanya.


