‘’Serangan kami akan lebih kuat, menyeluruh, memusnahkan’’ – Amaran Iran kepada Trump

JURUCAKAP Markas Pusat Khatam al-Anbiya Iran, Ebrahim Zolfaghari, menegaskan bahawa konflik semasa akan berterusan sehingga apa yang disifatkannya sebagai “penghinaan dan penyerahan sepenuhnya”kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Dalam kenyataannya, beliau berkata perang akan diteruskan dengan sokongan Allah SWT sehingga kedua-dua pihak musuh mengalami kekalahan yang memalukan. 

Zolfaghari turut menolak dakwaan bahawa serangan AS dan Israel telah melemahkan keupayaan ketenteraan Iran.

“Pemahaman anda tentang keupayaan dan kelengkapan ketenteraan kami adalah tidak lengkap,” katanya, sambil memberi amaran agar pihak lawan tidak menganggap pusat pengeluaran peluru berpandu, dron jarak jauh, sistem pertahanan udara dan keupayaan peperangan elektronik Iran telah dimusnahkan.

Menurut beliau, sasaran yang diserang hanyalah bernilai terhad, manakala keupayaan teras Iran masih utuh dan disembunyikan di lokasi yang tidak diketahui musuh. 

Malah, beliau mendakwa pengeluaran ketenteraan strategik Iran terus berjalan di tempat yang tidak dapat dikesan atau dicapai oleh pihak lawan.

Zolfaghari juga menegaskan bahawa jumlah sebenar aset ketenteraan Iran jauh lebih besar daripada jangkaan musuh.

 “Anda tidak akan mampu mengira jumlah peluru berpandu, dron dan aset strategik kami dengan tepat,” katanya.

Beliau mengakhiri kenyataan dengan amaran peningkatan serangan, dengan menyatakan bahawa tindakan Iran selepas ini akan menjadi lebih kuat, meluas dan lebih memusnahkan.

Kenyataan tersebut selari dengan petunjuk daripada pegawai Iran lain mengenai strategi eskalasi berperingkat.

 Sumber politik-keselamatan memberitahu agensi berita Al Mayadeen bahawa Iran merancang untuk meningkatkan secara beransur-ansur operasi peluru berpandu serta memperluaskan tindakan sekutu di rantau tersebut.

Strategi itu dilaporkan memberi tumpuan kepada pemusnahan sistem radar dan pertahanan udara musuh bagi melemahkan keupayaan ketenteraan mereka secara sistematik, sambil memanfaatkan data medan perang yang dikumpul sepanjang konflik.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa bahawa tentera AS telah mencapai kemenangan pantas dan objektif strategik utama di Iran hampir tercapai.

Beliau turut memberi amaran bahawa serangan lebih besar akan dilancarkan dalam tempoh beberapa minggu akan datang. 

“Kami akan menyerang mereka dengan sangat kuat… kami akan mengembalikan mereka ke Zaman Batu,” katanya.

Media Israel pula melaporkan bahawa tentera negara itu telah menamatkan serangan terhadap sasaran strategik dan berkaitan nuklear di Iran. 

Menurut laporan portal Israel Yedioth Ahronot, seorang pegawai kanan tentera mendakwa semua fasiliti strategik Iran telah dilumpuhkan.

Bagaimanapun, penilaian AS dan Israel dilihat berbeza dengan dakwaan Iran. Laporan oleh Axios menyebut bahawa walaupun kepimpinan ketenteraan Iran mengalami kerugian, negara itu masih belum menunjukkan tanda-tanda terkesan sepenuhnya, sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai tahap ketahanan Tehran terhadap tekanan berterusan.

Perkembangan ini mencerminkan jurang ketara antara naratif kedua-dua pihak, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik yang lebih besar di rantau tersebut.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img