SEORANG guru lelaki berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan dipandunya tiba-tiba mengundur sebelum merempuh kantin dan sebuah lagi kereta di kawasan parkir sebuah sekolah menengah di Kulim, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.25 pagi itu, mangsa berusia 55 tahun dipercayai sedang meletakkan kenderaannya sebelum hilang kawalan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, kenderaan terbabit secara tiba-tiba mengundur dan melanggar kantin sekolah.
“Guru terbabit cuba mengawal kenderaan ke hadapan tetapi gagal sebelum melanggar sebuah lagi kenderaan milik guru lain.
“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal kereta sehingga hilang kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, akibat kejadian itu, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan pada beberapa bahagian.
Beliau berkata, mangsa hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki kanan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.


