SEORANG wanita yang melecur akibat kebakaran rumah di Kampung Simpangan, Tumpat meninggal dunia selepas hampir 24 jam bertarung nyawa di hospital, hari ini.
Mangsa, Sha’adah Muhammad, 57, menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.15 petang di Hospital Raja Perempuan Zainab II selepas mengalami melecur 80 peratus pada badan dan muka.
Menurut ahli keluarganya yang dikenali Wati, dia sempat menziarahi arwah kira-kira jam 3 petang di unit rawatan rapi hospital berkenaan.
“Keadaan tubuhnya bengkak terutama di bahagian muka akibat kesan melecur dan dia tidak sedarkan diri ketika saya menziarahinya.
“Ketika dia menghembuskan nafas terakhir, hanya seorang anaknya, Nur Fariesya Syaila Mazelan, 15, yang turut melecur berada di sisi,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Buletin TV3.
Menurutnya, ahli keluarga terdekat telah berkumpul di hospital sejak awal pagi selepas dimaklumkan keadaan mangsa semakin kritikal.
Jenazah dijangka dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Islam Tanjong, Pengkalan Kubor.
Dalam kejadian kebakaran itu, mangsa mengalami melecur 80 peratus, manakala anaknya melecur 10 peratus dan suaminya, Mazelan Daud, 64, melecur lima peratus.
Difahamkan, mangsa sepatutnya berangkat ke Makkah bersama suami pada 24 April ini untuk menunaikan ibadah haji, namun hasrat itu tidak kesampaian.


