SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh kerjasama strategik bagi meningkatkan usaha pencegahan serta penguatkuasaan terhadap penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.
Kerjasama itu dimuktamadkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang menzahirkan komitmen bersama kedua-dua agensi dalam menangani ancaman penipuan digital yang kian meningkat.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong di Auditorium SC Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Mohammad Faiz berkata, MoU itu menggariskan dedikasi SC dalam melindungi kepentingan pelabur selain memastikan integriti pasaran kewangan negara terus terpelihara.
“MoU ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh usaha melindungi pelabur runcit dan orang awam daripada penipuan.
“Dengan menggabungkan kepakaran, SC dan MCMC mampu bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap ancaman yang muncul, di samping meningkatkan perlindungan serta kesedaran awam terhadap penipuan kewangan dan pelaburan tanpa lesen,” katanya.
Menurutnya, kerjasama tersebut turut merangkumi perkongsian risikan, penyelarasan prosedur operasi standard serta pembinaan kapasiti dalam aspek siasatan dan penguatkuasaan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa bagi tempoh 2024 hingga 2025, SC dengan bantuan MCMC telah menyekat atau menggantung 328 laman web, 388 akaun Telegram serta 60 nombor telefon yang terlibat dalam aktiviti penipuan.
“Usaha ini selari dengan peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan dalam melindungi orang ramai daripada ancaman penipuan digital sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap ekosistem kewangan negara,” ujarnya.
Sementara itu, Fahmi berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah positif dalam memperkemas tindakan terhadap pelbagai modus operandi penipuan termasuk iklan pelaburan tidak sah, penyamaran identiti serta penyalahgunaan rangkaian komunikasi.
Menurut beliau, usaha bersepadu itu turut melibatkan Jabatan Peguam Negara, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman serta Bank Negara Malaysia melalui National Scam Response Centre (NSRC).
“Dalam masa terdekat, satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan hala tuju serta tindakan lanjut untuk memastikan ekosistem komunikasi dan kewangan negara lebih selamat,” katanya.


