POLIS menahan seorang lelaki serta merampas dadah disyaki syabu seberat lebih satu kilogram dalam serbuan di kawasan Charuk Puting di Temerloh, semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, serbuan kira-kira jam 5 pagi itu diadakan oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh menerusi Op Tapis.
“Dalam serbuan itu, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun, selain merampas empat peket plastik berwarna merah jambu yang disyaki mengandungi dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan anggaran berat 1,024.63 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, polis turut menyita sebuah kenderaan Honda HRV berwarna kelabu yang dipercayai digunakan suspek, dengan nilai keseluruhan sitaan dan rampasan dadah dianggarkan RM112,252.50.
“Semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan berkaitan dadah. Suspek direman lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum mati.
“Polis akan terus mempergiat risikan dan tindakan membanteras aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah secara proaktif,” katanya.
Mohd Nasyim turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dadah menghubungi IPD Temerloh di talian 09-271 6222, atau emel kpdtemerloh@rmp.gov.my, atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.


