JPJ laksana penjimatan tenaga, sokong dasar BDR

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan langkah penjimatan tenaga secara serta-merta sebagai menyokong usaha kerajaan menangani krisis tenaga global yang dihadapi negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah itu selaras dengan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) yang akan berkuat kuasa mulai 15 April ini.

Menurutnya, antara inisiatif dilaksanakan termasuk meningkatkan suhu penyaman udara bagi menjimatkan penggunaan elektrik.

“Kita juga mengarahkan pengurangan penggunaan lampu sehingga 50 peratus di ruang pejabat yang tidak membabitkan kaunter perkhidmatan awam.

“Selain itu, pemakaian baju korporat atau batik dibenarkan sepanjang waktu bekerja bagi mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan penyaman udara secara maksimum,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Setia JPJ serta Pra Peluncuran Sambutan Hari JPJ ke-80 dan Karnival Mega JPJ MADANI 2026, Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata kawalan penggunaan tenaga di bangunan kerajaan akan diperketatkan termasuk menetapkan suhu minimum penyaman udara pada 24 darjah Celsius susulan krisis tenaga global.

Pelaksanaan BDR pula diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai langkah proaktif menghadapi situasi berkenaan.

Dalam masa sama, Aedy Fadly berkata, JPJ terus mempergiat usaha pendigitalan perkhidmatan dengan menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi MyJPJ dan portal rasmi bagi urusan yang tidak memerlukan kehadiran ke kaunter.

Katanya, langkah itu bukan sahaja menjimatkan tenaga malah memudahkan urusan rakyat dengan perkhidmatan yang lebih pantas dan efisien.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img