DUA remaja lelaki berusia 14 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama sekumpulan rakan di Sungai Pahang berhampiran Kampung Durian Hijau di Jerantut, petang ini.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika mangsa, Muhammad Amirul Ashraf Abdullah dan Muhammad Danial Haikal Shamsudin, pelajar tingkatan dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 24 mandi di sungai berkenaan bersama lima rakan mereka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Raja Arif Raja Shamsudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.49 petang, sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.
“Operasi awal pencarian dilakukan di permukaan air dengan bantuan penduduk kampung menggunakan 12 bot.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Bukit Angin turut digerakkan, namun operasi ditangguhkan kira-kira jam 7.30 malam ini dan dijangka disambung semula jam 8 pagi esok,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada Muhammad Danial, Norlalila Alias, 42, berkata, dia tidak mengetahui anaknya mandi di sungai bersama rakan-rakan.
“Saya dimaklumkan oleh anak kedua bahawa adiknya itu jatuh ke sungai ketika saya sedang bekerja di Jerantut Feri, sebelum terus bergegas pulang,” katanya.
Menurutnya, kira-kira dua minggu lalu anaknya pernah menyatakan hasrat untuk mandi sungai, namun tidak diizinkan.
“Saya tidak tahu dia bersama rakan-rakan tetap pergi ke sungai hari ini,” katanya.
Sepupu kepada Muhammad Amirul, Nur Fatihah Hanafi, 23, pula berkata, dia mengetahui kejadian itu melalui kumpulan WhatsApp keluarga.
“Saya terkejut dan terus bergegas pulang dari bandar Jerantut. Kami berharap kedua-dua mangsa segera ditemukan,” katanya.


