PEGUAM Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar hari ini menegaskan pihaknya telah memberi pertimbangan sewajarnya sebelum memutuskan untuk merangka pertuduhan bunuh terhadap R Saktygaanapathy, 28, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tegas Dusuki, beliau bertindak sebagai penjaga kepentingan awam dan memastikan keadilan untuk keluarga mangsa yang menuntut keadilan yang adil dan saksama.
‘’Kematian itu amat tragik. Mengabaikan nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya lain adalah kejam.
“Keterangan saksi dan rakaman kamera papan pemuka daripada kenderaan saksi di lokasi kejadian mengesahkan perlakuan tertuduh. Setiap kes mesti diteliti secara berasingan kerana berbeza dari segi fakta dan keadaan. Dengan kata lain, dinilai kes demi kes Jika terdapat elemen yang mencukupi, kami akan mengemukakan pertuduhan sewajarnya,” katanya lapor Malaysiakini.
Jabatan Peguam Negara memfailkan pertuduhan bunuh ke atas Saktygaanapathy berhubung kematian pekerja gudang dan penghantar barang, Amirul Hafiz Omar.
Dusuki menjelaskan tindakan tertuduh didakwa sengaja memasuki laluan bertentangan pada kelajuan tinggi mewujudkan keadaan yang “amat berbahaya serta-merta” kepada si mati, seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan.
Undang-undang berkenaan terpakai apabila seseorang melakukan perbuatan dengan mengetahui ia begitu berbahaya sehingga berkemungkinan besar menyebabkan kematian.


