POLIS kini mengesan seorang pemandu Proton Saga selepas memandu secara melawan arus di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 9.44 pagi tadi.
“Pemandu memandu dari persimpangan Jalan Klang Lama/Jalan Sepadu sehingga ke persimpangan Jalan Klang Lama/Jalan Kuchai Lama dengan anggaran jarak kira-kira 500 meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, tiada sebarang laporan diterima setakat ini selepas semakan melalui sistem aduan dilakukan.
Sehubungan itu, arahan telah diberikan untuk mengesan pemandu dan kenderaan berkenaan atas kesalahan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.


