JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor merampas sirip ikan yu kering serta daging babi dan ayam sejuk beku bernilai lebih RM10 juta menerusi Op Petasan pada Februari dan Mac lalu.
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, rampasan terbesar membabitkan 35,660 kilogram (kg) sirip ikan yu kering bernilai lebih RM8.2 juta termasuk duti dan cukai.
“Dagangan tersebut ditemui hasil pemeriksaan terhadap tiga kontena di Zon Bebas Pelabuhan Utara pada 12 Februari, 2 Mac dan 9 Mac lalu.
“Hasil pemeriksaan menemukan sirip ikan yu kering dipercayai diimport tanpa permit sah dengan nilai dagangan sekitar RM7.13 juta, manakala duti dan cukai dianggarkan RM1.1 juta,” katanya pada sidang media hari ini, lapor Buletin TV3.
Menurutnya, pengimportan sirip ikan yu tertakluk kepada permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta permit Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora daripada Jabatan Perikanan Malaysia.
“Dagangan itu dipercayai berasal dari negara di Amerika Selatan dan dibawa masuk untuk pasaran tempatan.
“Dalam kes berasingan, beliau berkata empat kontena sejuk beku mengandungi ayam dan daging babi bernilai lebih RM2.2 juta turut dirampas pada 6 Februari lalu di lokasi sama,” ujarnya.
Katanya, dagangan dari sebuah negara Asia itu dipercayai diimport tanpa permit sah dan dibawa masuk ke Pelabuhan Klang pada 16 dan 20 Januari lalu untuk pasaran sempena Tahun Baharu Cina.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.


