Kastam Pahang tewaskan cubaan seludup e-waste RM2.15 Juta di Pelabuhan Klang

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Pahang berjaya mematahkan cubaan penyeludupan sisa elektronik (e-waste) melibatkan lapan kontena di Pelabuhan Klang, Selangor dengan nilai rampasan dianggarkan RM2.15 juta.

Pengarah JKDM Negeri Pahang, Mohd Asri Seman berkata, rampasan itu hasil operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Bentong dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Selangor pada 3 Februari 2026 kira-kira jam 11 pagi.

“Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati komoditi barangan tersebut merupakan e-waste yang dipercayai telah diimport tanpa permit import serta membuat pengikraran dagangan import secara tidak betul dalam borang pengikraran.

“Modus operandi bagi kes ini dimana mereka telah membuat pengikraran tidak benar dalam borang pengikraran dengan mengikrarkan dagangan sebagai pekatan tembaga bagi mengelakkan keperluan permit import daripada Jabatan Alam Sekitar,” katanya dalam sidang media di Pelabuhan Klang hari ini, lapor Buletin TV3.

Tambahnya, jumlah berat keseluruhan rampasan dianggarkan 186,737 kilogram dengan nilai RM2,152,476.

Katanya lagi, 8 kontena yang dirampas berasal dari Kanada (5), Sepanyol (2) dan Croatia (1).

Menurut Mohd Asri, pengimportan e-waste merupakan barangan larangan bersyarat di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan memerlukan kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan larangan secara salah.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 yang mana lebih tinggi, atau dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Mengulas kenapa tindakan di Selangor dikendalikan Kastam Pahang, Mohd Asri berkata, penguatkuasaan JKDM tidak terikat kepada sempadan negeri.

Jelasnya, mana-mana negeri yang menerima maklumat boleh mengambil tindakan dan kes ini, maklumat diterima oleh pegawai penguatkuasaan di Bentong.

Justeru itu, JKDM Pahang akan mengendalikan kes ini sepenuhnya sehingga ke peringkat pendakwaan.

Beliau berkata, semua e-waste yang dirampas akan dihantar pulang ke negara asal selepas siasatan selesai.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img