SEORANG wanita warga emas maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian di Jalan 1/48A, Bandar Baru Sentul, Januari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.15 pagi membabitkan sebuah Honda Odyssey yang dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun.
“Siasatan awal mendapati kenderaan itu keluar dari kawasan deretan kedai sebelum membelok ke kanan dan melanggar mangsa yang sedang melintas jalan di hadapan kenderaan terbabit.
“Mangsa berusia 85 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, hasil siasatan di lokasi mendapati kawasan kejadian bukan lintasan pejalan kaki yang dibenarkan.
“Punca kemalangan dipercayai akibat tindakan pejalan kaki melintas secara tiba-tiba dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambah beliau, kertas siasatan sudah dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.


