PROJEK mega di bawah Kementerian Pertahanan (Mindef), termasuk pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan diteruskan seperti dirancang meskipun berlaku krisis tenaga global.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, perancangan itu akan diteruskan mengikut jadual seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) kerana melibatkan aspek keselamatan dan kedaulatan negara.
“Lagi lama kita menunggu dan menangguhkan (projek mega) ia akan memberikan impak kewangan yang lebih besar kepada kepada kita. Sebenarnya, paling penting adalah untuk menjaga kedaulatan dan mengoptimumkan keupayaan anggota pertahanan kita.
“Buat masa ini kita memang kekalkan projek yang telah kita rancang dan apa yang telah kita laksanakan,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Ikhtiar Autisme Angkatan Tentera Malaysia (IA-ATM) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Lautan Kasih Pangkalan TLDM Lumut di Lumut hari ini.
Yang turut hadir, Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor, Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (Takspa) ATM, Brigedier Jeneral Mohd Sam Mohd Yusof dan Komander Pangkalan Lumut, Laksamana Pertama Jamaludin Sairi.
Selain itu, turut hadir, Ketua Syariah Kumpulan Tabung Haji (TH), Imran Mohamad Khayat dan Penaung Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin.
Adly dalam pada itu berkata, Mindef juga akan mengenal pasti langkah penjimatan yang boleh dilaksanakan secara berhemat tanpa menjejaskan aspek operasi dan latihan ATM.
“Kita di Mindef sudah mengenal pasti beberapa bahagian dan pihak yang terlibat untuk bekerja dari rumah (BDR), kita akan dukung usaha ini supaya berbelanja secara berhemat.
“Tetapi dari aspek operasi dan sebagainya (latihan), ia (langkah penjimatan) tidak tidak akan mengganggu sebarang bentuk operasi sama ada di darat, laut dan udara kerana ia satu aspek keselamatan yang kita berikan tumpuan dan mengoptimumkan keupayaan kita,” katanya.
Beliau memberitahu, program kementerian terdapat dalam bentuk latihan, selain melibatkan inisiatif yang menghubungkan ATM dengan masyarakat dalam konteks Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC), dengan kesemuanya akan diteruskan.


