Anggota tentera Thailand ditahan AKPS seludup keluar petrol

AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menahan seorang anggota tentera Thailand di Bukit Kayu Hitam kelmarin selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan keluar minyak petrol ke negara jiran.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Fauzi Mohd Yusoff berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan petugas di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Menurut beliau, penahanan dilakukan susulan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan mencurigakan di Blok B, laluan keluar Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada jam 10.45 pagi.

“Ketika diperiksa terdapat pengubahsuaian pada bahagian belakang dan ruang tempat duduk kenderaan terbabit yang dipercayai digunakan bagi tujuan menyeludup minyak petrol.

“Pemeriksaan lanjut mendapati 400 liter petrol disembunyikan di dalam kenderaan terbabit dengan nilai sekitar RM1,550. Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Toyota Camry berwarna hitam bernombor pendaftaran Thailand, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fauzi memberitahu, anggota tentera lelaki yang ditahan itu berusia lingkungan 50-an manakala jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM6,550 dan kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kesemua rampasan termasuk suspek diserahkan kepada pegawai penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambah Fauzi, pihaknya akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan selain memastikan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara sentiasa terpelihara.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img