SEORANG terbunuh manakala seorang lagi parah selepas kereta Perodua Axia dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di Jalan Kionsom, Inanam dekat Kota Kinabalu malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa berusia lingkungan 50-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia manakala seorang lagi berusia 41 tahun cedera parah dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, sepasukan 10 anggota bersama jentera dihantar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, anggota pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah treler dan kereta Perodua Axia.
“Siasatan awal mendapati kereta itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang treler,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Sherriyana memberitahu, kedua-dua mangsa dalam kereta itu tersepit sebelum berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
Katanya lagi, pemandu treler berusia 33 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.


