BATALION 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan tiga lelaki warga asing dan merampas pelbagai jenis arak tidak bercukai bernilai kira-kira RM952,000 dalam satu serbuan di Taman Utama Pekan Nenas, di Johor Bahru Sabtu lalu.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Salehin Sulaiman berkata, serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota PGA menerusi Operasi Taring Alpha 2.
“Hasil pemeriksaan ke atas premis yang disyaki dijadikan stor penyimpanan itu membawa kepada penahanan tiga lelaki warga asing berusia antara 24 hingga 33 tahun.
“Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Proton Exora berwarna coklat serta sejumlah besar arak pelbagai jenama dipercayai tidak bercukai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Salehin, antara barangan dirampas termasuk ratusan kotak arak pelbagai jenama dan saiz.
Katanya, modus operandi sindiket ini adalah menjadikan premis tersebut sebagai tempat penyimpanan sebelum diedarkan ke pasaran sekitar daerah Pontian mengikut pesanan.


