Simpan video pornografi kanak-kanak, duda dihukum penjara enam bulan

SEORANG duda anak dua dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki video pornografi kanak-kanak pada Isnin lalu.

Idham Rhusla Mohamad Shahuri, 42, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Tertuduh didakwa memiliki satu video pornografi kanak-kanak yang disimpan dalam telefon bimbit jenama Oppo A35 miliknya di rumah di Kampung Sadang, Belanja Kiri di Parit, daerah Perak Tengah kira-kira jam 12.51 tengah hari Isnin lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Kathan.

Mengikut fakta kes, serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah menemukan satu video berunsur pornografi kanak-kanak yang terdapat dalam galeri telefon tertuduh.

Fakta itu juga menyatakan video berkenaan diperoleh secara muat turun daripada aplikasi Telegram dan disimpan untuk kegunaan sendiri.

Dalam prosiding itu, mahkamah diberitahu hanya terdapat satu video pornografi kanak-kanak disimpan dalam galeri telefon bimbit tertuduh iaitu membabitkan kanak-kanak yang mengenakan pakaian seragam sekolah menengah, dalam pada turut terdapat beberapa lagi bahan pornogragrafi yang tidak membabitkan kanak-kanak juga disimpan dalam galeri telefon itu.

Kathan ketika merayu hukuman ringan berkata, tertuduh yang juga seorang duda bekerja kampung dengan pendapatan RM1,800 sebulan dan menyara dua anak masing-masing baru menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tingkatan empat.

Kathan memohon satu hukuman penjara yang singkat dari tarikh tangkap, antara lain atas faktor tertuduh juga menanggung bapa yang berusia 77 tahun selain ianya adalah kesalahan pertama tertuduh serta pengakuan salah tertuduh di peringkat awal menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Nor Arfahanim bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai bentuk pengajaran supaya perkara itu bukan sahaja tidak berulang malah sebagai pencegahan kepada masyarakat berikutan kesalahan memiliki bahan lucah kanak-kanak yang kini semakin berleluasa.

Selain enam bulan penjara bermula dari tarikh tangkap pada Isnin lalu, Jean Sharmila turut menetapkan tertuduh menjalani pengawasan polis bagi tempoh tiga tahun bermula selepas hukuman penjara tamat.

Selain itu mahkamah juga menetapkan supaya tertuduh menjalani sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh penahanan di penjara.

Nor Arfahanim ketika ditemui selepas prosiding selesai berkata, tertuduh akan dihadapkan pula ke Mahkamah Majistret Parit selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Ipoh untuk menghadapi pertuduhan lain yang berkaitan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img