JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan sebanyak 133 pendatang asing tanpa izin dalam operasi bersepadu di dua buah kilang di kawasan perindustrian di Lembah Klang, hari ini.
Operasi dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi lain iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah hari, membabitkan sejumlah 145 pegawai.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 162 individu diperiksa dalam operasi ini dan 133 individu warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen dalam operasi berasingan di Balakong dan Shah Alam.
“Antara warga asing yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia (11), Bangladesh (65), India (4), Myanmar (17), Nepal (15), Pakistan (18), Vietnam (1) dan China (2) dengan majoritinya lelaki berumur antara 20 hingga 45 tahun.
“Kesalahan yang dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa dan pemegang kad tidak diiktiraf,” katanya dalam sidang media selepas meninjau operasi itu hari ini.
Mengulas lanjut, Zakaria memberitahu, kesemua warga asing yang ditahan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Dalam operasi sama katanya, JKDM turut dirampas arak dan rokok tidak bercukai yang dipercayai milik pekerja warga asing di kilang terbabit.
“Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
“Ia termasuk di bawah peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Zakaria mengingatkan orang ramai dan majikan untuk tidak menggaji atau melindungi PATI kerana ia adalah kesalahan serius di bawah Akta Imigresen.
Katanya, Program Repatriasi Migran 2.0 akan tamat pada April 2026 dan semua PATI dinasihatkan supaya mengambil peluang itu segera bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan lebih ketat selepas tempoh berakhir.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan PATI diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.


