JASAD bekas Menteri Pengangkutan yang juga Presiden Kehormat Seluruh Hidup MCA, mendiang Tun Dr Ling Liong Sik selamat disemadikan menerusi upacara pembakaran di krematorium Taman Memorial Xiao En, di Nilai hari ini.
Terdahulu van yang membawa jasad mendiang tiba di krematorium itu pada jam 12.18 tengah hari.
Upacara hampir sejam itu berlangsung dalam suasana hiba, dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang turut memberikan penghormatan terakhir dengan meletakkan bunga untuk mendiang.
Dr Ling meninggal dunia pada usia 82 tahun pada Sabtu lalu, meninggalkan isteri Toh Puan Ong Ee Nah serta dua anak lelaki, Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.
Bekas Presiden MCA itu antara anggota Kabinet paling lama berkhidmat ketika menerajui Kementerian Pengangkutan selama 17 tahun dari tahun 1986 hingga peletakan jawatan beliau pada 2003.


