SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan reman seorang penjawat awam yang disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM5,000 daripada seorang pengarah projek sebuah syarikat, petang semalam.
Suspek dipercayai meminta dan menerima wang tersebut sebagai balasan memudahkan urusan tuntutan bayaran interim pelaksanaan kerja-kerja pemuliharaan bangunan sebuah sekolah di negeri ini.
Perintah reman selama empat hari sehingga Sabtu ini terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Sara AfiqahZulkifli selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Seremban pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 5.50 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar Jun 2024 dan telah menerima wang rasuah secara tunai tetapi dalam mata wang asing, Euro kira-kira €1,000,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.


