SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang penjawat awam wanita kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM7,000 daripada sebuah syarikat pembekal peralatan teknologi maklumat (ICT).
Wang rasuah itu adalah sebagai balasan mengesahkan pembekalan alat ganti dan perkakasan ICT kepada Cawangan Teknologi Maklumat ditempat suspek bekerja.
Suspek berusia lingkungan 40-an direman empat hari sehingga 10 April depan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023 hingga 2024.
“Suspek dipercayai telah menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” kata sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan, kes ini disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.


