SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua individu termasuk seorang pengarah urusan sebuah syarikat kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta daripada pengarah syarikat pembekal pasir sebagai balasan tidak melaporkan perbuatan rasuah syarikat itu kepada SPRM.
Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan berasingan antara jam 2 petang dan 8 malam tadi di sebuah restoran sekitar Pulau Pinang dan di pejabat SPRM Pulau Pinang.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang merupakan seorang individu tidak bekerja (suspek utama) dan seorang pengarah urusan syarikat pembekal pasir disyaki melakukan perbuatan tersebut pada Mac lalu.
“Suspek utama telah ditahan melalui satu operasi khas yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM di sebuah restoran semalam di mana tiga keping cek bernilai kira-kira RM1 juta diserahkan kepadanya,” katanya.
Kata sumber itu, suspek utama turut disyaki mengugut untuk membuat laporan kepada SPRM sekiranya tidak dibayar.
Menurut sumber lagi, SPRM turut menyita beberapa barangan seperti tiga keping cek bernilai kira-kira RM1 juta dan empat unit telefon bimbit dalam tangkapan itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes ini disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan setakat ini seorang saksi telah diambil keterangan.


