PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini merasmikan MADANI Mart pertama di negara dalam usaha menangani cabaran kos sara hidup rakyat.
Beliau tiba kira-kira jam 3 petang dan mengadakan lawatan selama lima minit di MADANI Mart cawangan Indera Mahkota 8 (IM8) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu.

Perdana Menteri turut berkesempatan beramah mesra bersama penduduk setempat.
Yang turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh.
MADANI Mart merupakan inisiatif di bawah Yayasan MADANI yang berfungsi sebagai platform ekonomi rakyat, bukan sekadar premis runcit.
Inisiatif berkenaan menyokong usaha menstabilkan ekonomi dengan menyediakan akses kepada barangan keperluan pada harga berpatutan dan kompetitif.
Sementara itu, Fuziah menafikan MADANI Mart berkonsepkan kedai runcit harga rahmah ini sebagai ciplak Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang diperkenalkan pada 2011 kerana kerajaan tidak mengeluarkan sebarang modal.
“Tak mungkin ciplak sebab dalam model terdahulu (KR1M), kerajaan keluar modal, kerajaan bayar capex (perbelanjaan modal), kerajaan bayar untuk kerja ubah suai, inventori dan pembelian stok.
“Tapi di MADANI Mart, kerajaan tidak keluarkan modal satu sen pun, jadi lainlah modelnya. MADANI Mart juga bukan berkonsepkan francais kerana kalau francais, ia mengikat 100 peratus, tapi model ini fleksibel,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran cawangan pertama MADANI Mart itu.


