Kisah Darurat diabadikan dalam buku ‘Jasa Mu Dikenang’

PERSATUAN Bekas Pasukan Keselamatan Negara Malaysia (PBPKNM) melancarkan buku berjudul ‘Jasa Mu Dikenang’ bagi menghargai jasa dan pengorbanan anggota keselamatan yang berjuang bermati-matian selama ini demi membebaskan negara daripada ancaman musuh.

Antara kandungan utama buku berkenaan adalah memaparkan detik cemas berdepan ancaman pengganas komunis serta kisah pengorbanan anggota keselamatan negara ketika zaman darurat.

Buku setebal 128 muka surat itu menghimpunkan pelbagai pengalaman anggota Special Constable (SC) termasuk pertempuran di dalam hutan, serangan hendap serta tragedi menyayat hati melibatkan mangsa jerangkap samar.

Pemangku Yang Dipertua PBPKNM, Ahmad Zaki Ibrahim berkata, penerbitan buku tersebut bertujuan merakam sejarah ringkas perjuangan pasukan keselamatan untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang.

Menurutnya, penerbitan itu juga merupakan salah satu usaha persatuan itu yang ditubuhkan pada 1995 dan berperanan menjaga kebajikan bekas anggota serta keluarga mereka, selain mengeratkan hubungan sesama ahli.

“Buku ini kita hasilkan sebagai satu usaha mendokumentasikan kisah-kisah perjuangan ketika era darurat, termasuk operasi di kawasan hutan seperti Ulu Kinta, Grik dan beberapa lokasi lain yang menjadi medan pertempuran dengan komunis.

“Banyak kisah yang sebenarnya boleh dikongsikan, namun untuk permulaan kita himpunkan tiga kisah utama terlebih dahulu daripada keseluruhan 14 unit pasukan di bawah naungan persatuan,” katanya.

Majlis pelancaran buku berkenaan disempurnakan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Yang turut hadir, Penasihat Diraja PBPKNM, Tengku Puteri Rosmawini Tengku Datuk Muiz Shah Tengku Temenggong Abdul Aziz Abdullah.

Ahmad Zaki dalam pada itu berkata, pihaknya merancang menerbitkan lebih banyak kisah individu anggota yang terlibat dalam operasi keselamatan negara secara berperingkat dalam tempoh dua tahun akan datang.

Beliau memberitahu, sebanyak 120 naskhah dicetak sebagai edisi permulaan dan tidak dijual kepada umum, sebaliknya diberikan sebagai cenderamata kepada bekas anggota keselamatan serta penaja program.

“Buat masa ini kita tidak menjual buku ini kerana kos penerbitan agak tinggi, namun tidak menolak kemungkinan ia akan dipasarkan pada masa akan datang,” ujarnya.

Pelancaran buku tersebut dilihat sebagai satu usaha penting dalam memastikan sejarah perjuangan pasukan keselamatan negara tidak dilupakan, sekali gus menjadi sumber rujukan generasi baharu dalam memahami erti pengorbanan mempertahankan tanah air.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img