Isteri Allahyarham Amirul Hafiz layak terima pencen penakat

ISTERI kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, penunggang motosikal yang maut dirempuh pemandu mabuk di Klang Ahad lalu bersyukur apabila mendapat khabar gembira layak menerima pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata, bantuan bulanan sebanyak RM2,888.17 yang diterimanya itu, sedikit sebanyak meringankan beban dia dan anak-anak.

Ibu kepada tiga anak yang masih kecil itu memberitahu, kehadiran pegawai Perkeso ke rumah dan memaklumkan kelayakan tersebut benar-benar melegakannya.

“Saya sangat bersyukur apabila pegawai Perkeso datang ke rumah dan memaklumkan kami layak menerima bantuan. Sekurang-kurangnya beban yang ditanggung terasa sedikit ringan terutama dalam membesarkan anak-anak yang masih kecil.

“Bantuan secara berterusan setiap bulan ini menjadi sumber pendapatan tetap buat kami keluarga. Oleh itu, selepas ini saya pula bercadang untuk mencarum dengan Perkeso.

“Walaupun anak-anak menerima manfaat daripada caruman arwah suami, saya tetap mahu mencarum supaya jika berlaku apa-apa kepada saya, anak-anak atau waris tetap dilindungi,” katanya.

Nor Nadia hari ini menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohamed Azman Aziz Mohammed ke rumahnya bagi menyampaikan pencen penakat Perkeso dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM).

Beliau berkata, caruman Perkeso tidak membebankan kerana jumlahnya rendah namun memberi manfaat besar kepada pencarum dan keluarga.

“Bagi saya, caruman ini sangat penting dan tidak membebankan. Dengan bayaran hanya beberapa ringgit sebulan, ia mampu memberi jaminan kepada masa depan keluarga,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohamed Azman berkata, semakan pihaknya mendapati Allahyarham Amirul Hafiz yang juga pekerja di TVH Malaysia Sdn Bhd selama 15 tahun adalah pencarum aktif bawah skim Lindung Pekerja, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Kata beliau, rekod caruman Allahyarham memenuhi syarat kelayakan di bawah Skim Keilatan, sekali gus melayakkan waris menerima pencen penakat sebagai jaminan kewangan berterusan.

“Caruman yang dibuat Allahyarham sebelum ini kini menjadi ‘talian hayat’ buat balu serta tiga anak mereka yang masing-masing berusia antara dua hingga sembilan tahun.

“Menerusi manfaat pencen penakat, balu Allahyarham layak menerima bayaran bulanan sepanjang hayat, manakala anak-anak akan menerima bantuan kewangan pendidikan sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama dengan jumlah faedah yang bakal diterima setiap bulan berjumlah RM2,888.17.

“Selain itu, Perkeso turut menyalurkan FPM berjumlah RM3,000 kepada waris,” ujarnya.

Beliau turut menasihati semua majikan agar menjadi lebih bertanggungjawab dengan memastikan setiap pekerja didaftarkan dan mencarum di bawah Perkeso.

Tambahnya, ramai yang tidak menyedari kepentingan Perkeso selagi belum diuji.

“Kita harus sedar bahawa malang tidak berbau. Dalam kes ini, Allahyarham hanya keluar untuk membeli peralatan sekolah anak, namun tidak menyangka akan terlibat dalam kemalangan maut.

“Apa yang ditinggalkan kepada keluarga hari ini adalah perlindungan keselamatan sosial hasil caruman yang dibuat sebelum ini. Sehubungan itu, saya memohon kepada majikan yang masih belum mendaftar dan mencarum supaya segera berbuat demikian,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img