POLIS Kemboja terus menggempur sindiket penipuan dalam talian apabila menahan 218 warga asing di Sen Sok, Phnom Penh.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 93 warga China, 91 warga Bangladesh, 17 warga Vietnam, 11 warga India, 5 warga Jepun, dan seorang warga Laos. Sepuluh daripada mereka adalah wanita.
Polis turut merampas 133 komputer all-in-one, 44 komputer riba, 392 telefon bimbit, 16 monitor, 15 CPU, 5 tablet, 2 topi polis Jepun, 5 pakaian seragam polis Jepun, dan 4 kad pengenalan polis Jepun.
Dalam satu kenyataan polis memaklumkan analisis forensik menunjukkan lokasi itu digunakan untuk penipuan berasaskan teknologi dengan menggunakan identiti palsu polis Jepun bagi menyasarkan warga negara Asia Timur itu. Mereka memperdaya mangsa melalui penipuan percintaan serta penipuan pelaburan.
Dalam satu lagi operasi di bangunan kondominium JD Polman di kawasan sama membawa kepada penahanan lima warga Jepun dan tiga warga China.
Kumpulan itu dipercayai menjalankan operasi yang jauh lebih kecil, apabila polis hanya merampas 14 telefon bimbit, satu CPU, satu monitor, tiga iPad, lima set pakaian seragam polis Jepun, dua topi polis Jepun, dan dokumen polis palsu.
Polis berkata kumpulan itu disyaki menyamar sebagai pihak berkuasa Jepun dan menggunakan dokumen palsu, aduan, kontrak serta geran tanah untuk menipu individu di Jepun.
Sementara itu Suruhanjaya Pengurusan Perjudian Komersial Kemboja (CGMC) memaklumkan bahawa lesen kasino milik Gang Dao International Entertainment Co Ltd yang terletak di Lek Boun, Sihanoukville telah dibatalkan susulan dakwaan penglibatan dalam operasi penipuan dalam talian.
Keputusan itu dibuat selepas serbuan polis pada Ahad menemui kaitan kasino berkenaan dengan sebuah sindiket.
Ia membawa kepada penahanan 108 suspek, termasuk 105 warga China dan tiga warga Myanmar. Polis turut merampas hampir 500 komputer dan lebih 1,000 telefon bimbit sebagai bahan bukti.
“Berdasarkan siasatan daripada operasi ini, dan selaras dengan prosedur undang-undang yang ditetapkan, syarikat Gang Dao International Entertainment Co Ltd didapati melanggar peruntukan undang-undang yang mengawal operasi perjudian komersial,” kata CGMC dalam satu kenyataan.
Tindakan penguatkuasaan di Phnom Penh dan wilayah Preah Sihanouk adalah sebahagian daripada kempen XXL, iaitu usaha dipertingkatkan kerajaan untuk membanteras rangkaian penipuan dalam talian di Kemboja menjelang Tahun Baharu Khmer.
Undang-undang Membanteras Penipuan Dalam Talian, yang mula berkuat kuasa pada Isnin selepas diwartakan oleh Pemangku Ketua Negara Hun Sen, dijangka menyediakan mekanisme perundangan bagi pihak berkuasa meneruskan usaha memerangi jenayah moden.
Berucap dalam satu mesyuarat pada Isnin, Menteri Kanan Chhay Sinarith, Ketua Sekretariat Suruhanjaya Membanteras Penipuan Dalam Talian, menggesa pentadbiran wilayah dan perbandaran, pihak berkuasa serta agensi penguatkuasaan undang-undang di seluruh Kemboja supaya melaksanakan undang-undang baharu itu dengan penuh tanggungjawab.
“Matlamatnya adalah untuk menghapuskan penipuan dalam talian dari Kemboja dan memastikan aktiviti jenayah rentas sempadan tidak kembali ke negara ini,” katanya.


