SEORANG nenek maut ditikam oleh dua cucu perempuannya yang masih remaja di Phnom Penh, susulan pertikaian sama ada mereka dibenarkan keluar berjanji temu.
Kejadian berlaku pada jam 11 pagi Isnin, di daerah Chbar Ampov, Phnom Penh.
Polis mengenal pasti mangsa sebagai Ty Kong, 64, manakala suspek ialah Seng Chanbomee, 19, dan Seng Heng Sanika, 18.
Sumber polis berkata, selepas menerima laporan daripada seorang ahli keluarga bahawa terdapat kematian, pihak polis segera menghantar pasukan forensik. Hasil pemeriksaan ke atas mayat mendapati terdapat kesan tikaman di bahagian belakang badan.
Polis kemudian menahan kedua-dua suspek dan membawa mereka ke Balai Polis Phnom Penh untuk disoal siasat.
Suspek mengaku menikam nenek mereka di bahagian belakang menggunakan pisau tajam sehingga mangsa mati akibat pendarahan, kerana mangsa melarang mereka mempunyai teman lelaki sepanjang tempoh persekolahan.
Ketika ini, pihak berkuasa telah membuka kertas siasatan terhadap kedua-dua suspek dan menyerahkan mereka ke mahkamah untuk tindakan lanjut.


