JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya membongkar kegiatan pengedaran pelbagai jenis dadah selepas menahan dua suspek di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua suspek itu ditahan bersama sejumlah dadah bernilai RM8.58 juta dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Pandan Indah.
“Serbuan dijalankan di kawasan parkir kondominium terlibat berjaya merampas 50 bungkusan disyaki dadah jenis ketamin. Pemeriksaan lanjut di sebuah unit kondominium yang sama berjaya merampas pelbagai jenis dadah.
“Antaranya, 42 bungkusan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 43.77 kilogram (kg), ketamin (1.89kg), MDMA (1.01kg), pil ekstasi (6.3kg), 2,343 katrij cecair vape MDMA, ketamin (53.32kg), dan methamphetamine (43.77kg),” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam Facebook JSJN Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan pihaknya percaya dua suspek iaitu seorang lelaki tempatan dan wanita warga asing berusia 42 serta 28 tahun itu berperanan sebagai penghantar serta penjaga stor yang diberi upah mencecah RM2,000 bagi setiap penghantaran.
Katanya, mereka menjadikan premis kondominium yang disewa itu sebagai stor simpanan dadah manakala kereta bernombor pendaftaran palsu digunakan bagi mengelirukan pihak polis.
“Semakan rekod mendapati salah seorang suspek memiliki tiga jenayah lampau bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin. Keduanya direman tujuh hari sehingga 10 April,” katanya.
Hussein berkata, dalam operasi itu pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Proton X70 dan Nissan Grand Livina serta tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.


