PERKENALAN sepasang pendaki di Bukit Melati, Nilai beberapa tahun lalu akhirnya dimeterai apabila pasangan itu mengadakan majlis persandingan mereka lain daripada yang lain iaitu di atas puncak Bukit 527 di Salak Perdana, Selangor pada Ahad lalu.
Rahmat Samad, 60, mengakhiri zaman dudanya untuk menikahi Haniin Omar, 50, seorang perancang perkahwinan dan apa yang lebih menarik, pemilihan lokasi persandingan itu dibuat atas permintaan para pendaki yang merupakan ahli kumpulan pendaki Tebas Hiker dinaungi oleh Rahmat.

Menurut Haniin yang sebelum ini merupakan ibu tunggal, dia mengenali suaminya itu yang merupakan seorang pesara ketika mendaki Bukit Melati beberapa tahun lalu.
“Perkenalan kami diteruskan apabila suami melamar saya seminggu sebelum umat Islam menyambut Ramadan. Majlis akad nikah pula berlangsung di Masjid Kariah Bukit Kadir, Nilai pada 4 April lalu dihadiri ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Majlis persandingan dan resepsi pula diadakan di atas puncak Bukit 527 sehari selepas itu iaitu 5 April lalu dihadiri kira-kira 200 orang jemputan terdiri daripada ahli pendaki Tebas Hiker,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.
Menurut Haniin, persiapan untuk majlis resepsi di atas puncak bukit itu diadakan seminggu lebih awal dengan bantuan para ahli kumpulan membawa naik barangan keperluan seperti pinggan mangkuk, peralatan pelamin, kerusi dan lain-lain.

Katanya, dia dan suami amat menghargai bantuan dan kerjasama diberikan sesama pendaki yang sanggup bersusah payah membawa naik barangan selain ada juga yang menyumbang wang ringgit dan makanan untuk menjayakan majlis itu.
“Selain persiapan awal itu, puncak Bukit 527 juga telah tersedia kemudahan seperti surau, tandas, tempat memasak malah lokasi ini juga mempunyai tempat perkhemahan dan sering menyediakan makanan dan minuman untuk para pendaki sebelum ini hasil daripada sumbangan para pendaki.
“Alhamdulillah saya amat bersyukur majlis resepsi di atas puncak bukit ini berjalan lancar dan mengikut atur cara yang ditetapkan,” katanya yang menguruskan jadual dan atur cara majlis tersebut dibantu ahli jawatankuasa majlis resepsi yang terlibat.
Rahmat dan Haniin masing-masing sudah mempunyai cucu hasil perkahwinan terdahulu.


