Pasangan pendaki cipta kelainan rai hari bahagia di puncak Bukit 527 Selangor

PERKENALAN sepasang pendaki di Bukit Melati, Nilai beberapa tahun lalu akhirnya dimeterai apabila pasangan itu mengadakan majlis persandingan mereka lain daripada yang lain iaitu di atas puncak Bukit 527 di Salak Perdana, Selangor pada Ahad lalu.

Rahmat Samad, 60, mengakhiri zaman dudanya untuk menikahi Haniin Omar, 50, seorang perancang perkahwinan dan apa yang lebih menarik, pemilihan lokasi persandingan itu dibuat atas permintaan para pendaki yang merupakan ahli kumpulan pendaki Tebas Hiker dinaungi oleh Rahmat.

RAHMAT Samad dan pasangannya ,Haniin Omar pada majlis resepsi mereka di atas puncak Bukit 527 di Salak Perdana, Selangor pada Ahad lalu. GAMBAR: koleksi pengantin

Menurut Haniin yang sebelum ini merupakan ibu tunggal, dia mengenali suaminya itu yang merupakan seorang pesara ketika mendaki Bukit Melati beberapa tahun lalu.

“Perkenalan kami diteruskan apabila suami melamar saya seminggu sebelum umat Islam menyambut Ramadan. Majlis akad nikah pula berlangsung di Masjid Kariah Bukit Kadir, Nilai pada 4 April lalu dihadiri ahli keluarga dan rakan-rakan.

AHLI jawatankuasa terdiri daripada pendaki Tebas Hiker yang terlibat menjayakan majlis resepsi penaung mereka, Rahmat Samad dan isteri di atas puncak Bukit 527

“Majlis persandingan dan resepsi pula diadakan di atas puncak Bukit 527 sehari selepas itu iaitu 5 April lalu dihadiri kira-kira 200 orang jemputan terdiri daripada ahli pendaki Tebas Hiker,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Menurut Haniin, persiapan untuk majlis resepsi di atas puncak bukit itu diadakan seminggu lebih awal dengan bantuan para ahli kumpulan membawa naik barangan keperluan seperti pinggan mangkuk, peralatan pelamin, kerusi dan lain-lain.

PENDAKI Tebas Hiker mengangkat barangan untuk persiapan majlis resepsi penaung mereka Rahmat Samad di atas puncak Bukit 527

Katanya, dia dan suami amat menghargai bantuan dan kerjasama diberikan sesama pendaki yang sanggup bersusah payah membawa naik barangan selain ada juga yang menyumbang wang ringgit dan makanan untuk menjayakan majlis itu.

“Selain persiapan awal itu, puncak Bukit 527 juga telah tersedia kemudahan seperti surau, tandas, tempat memasak malah lokasi ini juga mempunyai tempat perkhemahan dan sering menyediakan makanan dan minuman untuk para pendaki sebelum ini hasil daripada sumbangan para pendaki.

“Alhamdulillah saya amat bersyukur majlis resepsi di atas puncak bukit ini berjalan lancar dan mengikut atur cara yang ditetapkan,” katanya yang menguruskan jadual dan atur cara majlis tersebut dibantu ahli jawatankuasa majlis resepsi yang terlibat.

Rahmat dan Haniin masing-masing sudah mempunyai cucu hasil perkahwinan terdahulu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img