SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan ke atas seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) suruhanjaya itu yang ditahan semalam atas kesalahan dadah.
Dalam kenyataan hari ini, SPRM menyatakan mengambil maklum berhubung tangkapan ke atas individu tersebut yang baru melaporkan diri pada minggu lalu untuk bertugas di suruhanjaya berkenaan.
‘’Pegawai tersebut telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 23 September 2025 di rumahnya dan pemeriksaan dijalankan turut menemui bahan terlarang disyaki dadah.
‘’SPRM menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara ini dan memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya,’’ kata kenyataan itu.
SPRM menegaskan bahawa Suruhanjaya ini tidak akan berkompromi dengan salah laku, pelanggaran undang-undang atau perbuatan jenayah oleh mana-mana pegawai atau kakitangan dan komited untuk memastikan integriti serta tata kelola organisasi sentiasa dipelihara.


