DUA pemimpin tertinggi Pas hari ini membantah kehadiran Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan, ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) itu dianggap bersekongkol dengan Isarel untuk melakukan kekejaman ke atas rakyat Palesti.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata Trump secara terang-terangan bersekongkol bersama Israel dengan melakukan kekejaman melampau terhadap orang Islam di Palestin, khususnya di Gaza.
“Bahkan, sudah puluhan ribu kanak-kanak menjadi korban keganasannya, apatah lebih besar lagi angkanya kalau dicampurkan dengan kaum wanita, warga tua, dan pesakit yang berada di hospital.
“Israel juga telah memusnahkan rumah kediaman, khemah pelarian, dan rumah ibadat, sehingga turut membunuh petugas bantuan kemanusiaan. Jenayahnya telah disabitkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC)
“Namun begitu, Amerika Syarikat bukan sahaja menggunakan kuasa veto untuk membatalkan semua keputusan tersebut, bahkan turut membantu dengan segala jenis senjata dan bantuan ketenteraan secara langsung kepada Israel dengan arahan yang nyata oleh Trump.
“Trump juga menjadi syaitan besar yang menggoda masyarakat dunia, menjadi pendamai yang zalim apabila meletakkan syarat supaya kumpulan rakyat Palestin yang berjuang demi mempertahankan diri dan tanah air dilucutkan senjatanya,” katanya.
Malah katanya, Amerika turut membekalkan senjata yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa kepada Israel.
“Trump juga turut menggoda rakyat Palestin dengan bantuan kewangan yang paling besar jumlahnya supaya menerima penyelesaian dua negara (two-state solution). Ataupun, mereka dipaksa berpindah dengan meninggalkan Palestin dan menyerah kepada Israel dalam keadaan Israel terus merampas kawasan yang masih menjadi tempat rakyat Palestin yang terpaksa berlindung.
“Namun, semua tawaran itu ditolak oleh rakyat Palestin yang tinggi maruahnya. Selaku syaitan besar, Trump juga menggoda pemimpin negara Islam dan Arab supaya menyembahnya,” kata Abdul Hadi.

Sementara itu dalam kenyataan media, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa Amanah dan Umno menyatakan pendirian berhubung kehadiran Trump ke negara ini.
Beliau berkata, kedua-dua parti itu masih membisu ketika rakyat sedang menanti penjelasan kepimpinan mereka.
“Pada suatu ketika dahulu Amanah pernah mengakui bahawa mereka adalah parti yang berprinsip dan tegas, bukannya sekadar parti yang hanya menurut perintah (yes man).
“Malah, sejarah mencatatkan bahawa presiden Amanah (Mohammad Sabu) merupakan antara tokoh yang lantang menentang pencerobohan dan penindasan Israel serta mengecam sikap Amerika Syarikat di Timur Tengah.
“Di manakah pendirian tegas Amanah terhadap isu Palestin hari ini? Mengapa mereka terus membisu terhadap tindakan perdana menteri (Anwar Ibrahim) menjemput Trump ke Malaysia sebagai tetamu kehormat, sedangkan tangannya masih berlumuran darah rakyat Palestin?
“Kami juga mengharapkan suara ketegasan daripada UMNO dalam isu ini,” katanya.Tegas Tuan Ibrahim, sikap membisu kedua-dua parti itu hanya akan dilihat sebagai tanda persetujuan terhadap kedatangan Trump ke negara ini.
“Ketika dunia sedang mengutuk kekejaman Israel dengan sokongan Amerika Syarikat, sikap membisu ini amat mengecewakan dan pasti melukakan hati umat Islam di negara ini yang bersolidariti bersama saudara mereka di Palestin.
“Nyatakanlah pendirian kita dengan jelas, agar kita tidak termasuk dalam golongan yang diancam. Apakah kita sanggup berdiam diri hanya kerana alasan ekonomi, sedangkan kita mempunyai pilihan lain?” Soalnya.


