Bekas Duta Arab Saudi anggap Israel ‘negara pariah’ tidak hormati undang-undang antarabangsa

BEKAS Duta Arab Saudi ke Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom, Putera Turki Al-Faisal menyifatkan tindakan Isarel menyerang pemimpin Hamas di Qatar pada 9 September lalu ketika  mereka sedang berbincang mengenai perjanjian gencatan senjata bagi menamatkan perang Israel di Gaza – sebagai perbuatan “khianat.”

“Wilayah Teluk kini menyaksikan serangan yang amat khianat oleh Israel terhadap kedaulatan Qatar. Serangan ini menjadi peringatan kepada semua negara Teluk bahawa keselamatan bersama mereka berada dalam ancaman oleh sebuah negara pariah yang tidak menghormati sebarang undang-undang atau peraturan hubungan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena sambutan Jubli Emas ArabNews di Riyadh, malam tadi.

Donald Trump merupakan sahabat baik Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Beliau menegaskan serangan itu menjadi pembuka mata kepada negara-negara Teluk untuk mempertikai kredibiliti dan kebolehpercayaan pakatan sedia ada apabila ancaman datang daripada Israel.

 “Keadaan ini menuntut negara-negara kita menilai semula bentuk ancaman serta membina semula dasar strategik bagi melindungi keselamatan dengan apa jua cara. Israel tidak boleh dibiarkan bertindak sesuka hati,” tegasnya.

Puteri Turki Al-Faisal turut menyifatkan Washington kini telah meninggalkan peranan sebagai pengantara  untuk menjadi sekutu rapat Israel.

Katanya, sikap ‘double standard’  yang secara terang-terangan ditunjukkan  oleh  AS dalam menangani pendudukan Israel di Palestin dan perang genosid terbarunya di Gaza dan Tebing Barat bukan sahaja disaksikan oleh orang Arab, tetapi juga oleh masyarakat dunia.

‘’Jika Presiden Donald Trump mahu dikenali sebagai seorang pendamai, beliau harus memperbetulkan kesilapan lalu yang telah menjejaskan keamanan dan keselamatan rakan-rakan serta sekutu Amerika.

‘’Saya percaya tiada mana-mana rantau di dunia ini yang merasai kesan ketidakpastian antarabangsa lebih daripada rantau Timur Tengah. Siapa yang harus dipersalahkan atas keadaan berterusan ini masih terbuka kepada perbahasan.

‘’Namun, walaupun negara dan pemimpin rantau ini turut memikul tanggungjawab, Amerika Syarikat menanggung bahagian terbesar,’’  katanya.

Putera Turki juga menyambut baik kemajuan terkini ke arah merealisasikan penyelesaian dua negara, selepas usaha diplomatik bersama Arab Saudi dan Perancis membawa kepada beberapa pengiktirafan negara Palestin oleh kuasa Barat pada Perhimpunan Agung PBB minggu lalu.

Beliau menolak keras tuduhan Israel dan penyokongnya bahawa pengiktirafan itu merupakan ganjaran kepada Hamas ekoran serangan 7 Oktober tahun lalu.

“Antara tohmahan yang dilemparkan terhadap Kerajaan (Arab Saudi), Perancis dan negara-negara lain yang mengiktiraf Palestin ialah kononnya ia adalah ganjaran kepada Hamas. Tuduhan ini adalah satu pembohongan yang jahat bagi menafikan hak asasi rakyat Palestin untuk memiliki negara mereka sendiri,” katanya.

Beliau dengan tegas menyatakan,  “Apa yang sebenarnya (menyebabkan) tindak balas Hamas dan kumpulan seumpamanya ialah penjajahan  Israel yang sudah berlarutan selama 80 tahun dan penafian hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri. Tanpa pendudukan itu, tidak akan wujud sebarang penentangan terhadapnya.”

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img