TINDAKAN ganas tiga lelaki warga Indonesia melanggar bot ronda pasukan Maritim Malaysia untuk melarikan diri ketika cuba menyeludup pendatang tanpa izin dan dadah ‘makan diri’ apabila bot mereka hilang kawalan dan terbalik.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata dalam kejadian kira-kira 4 pagi semalam itu, bot gentian kaca yang dinaiki mereka karam di perairan Tanjung Bidara
“Hasil risikan telah mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot dari Pulau Rupat, Indonesia yang dipercayai cuba memasuki perairan negara ini. Bot ronda APMM yang melaksanakan Op Murni berjaya mengesan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran pada jarak 2.3 batu nautika barat daya Tanjung Bidara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata dua daripada tiga suspek bertindak terjun ke laut manakala seorang lagi berusia 37 tahun berjaya ditahan.
“Siasatan awal mendapati bot itu dipercayai menuju ke Pengkalan Balak bagi mengambil pendatang asing tanpa izin dan dadah untuk diseludup keluar dari negara ini.
“Suspek ditahan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran,” katanya dan menambah operasi CARILAMAT diaktifkan bagi mengesan dua lagi suspek.


