Beberapa orang pelajar lelaki yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan, akan dituduh di Mahkamah Majistret Melaka berhubung kes rogol seorang pelajar perempuan tingkatan tiga.
Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan berkata, mereka akan didakwa di bawah seksyen 375B dan 377B Kanun Keseksaan [Akta 574], serta seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] di Mahkamah Majistret Melaka yang mempunyai bidang kuasa setempat.
Kenyataan itu memaklumkan AGC telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan mendapati terdapat asas yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap individu-individu yang terlibat.
“Jabatan ini kekal komited untuk memastikan setiap kesalahan jenayah, khususnya yang melibatkan mangsa kanak-kanak dan jenayah seksual, diambil tindakan sewajarnya dan ditangani dengan tegas berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa,” kata AGC.
Pada 11 Oktober lepas, empat pelajar lelaki direman enam hari selepas disyaki merogol mangsa secara bergilir-gilir di dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Alor Gajah.
Media sebelum ini melaporkan kejadian rogol bergilir-gilir terbabit berlaku kira-kira 2.50 petang pada 2 Okt lepas dan perbuatan itu dirakam menggunakan telefon bimbit dua daripada suspek.
Insiden berkenaan terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video itu daripada guru sekolah sebelum membuat laporan polis.
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4496″]


