ANALISIS
Apa yang berlaku hari ini di sekolah-sekolah sememangnya membimbangkan dan menampakkan kegagalan sistem pendidikan untuk memastikan semua ‘tragedi’ itu tidak berlaku. Apa bentuk generasi yang kita mahu lahirkan kalau pelbagai kes di luar pemikiran terjadi di sekolah-sekolah.
Oleh itu dengan kes buli, bunuh, rogol, pukul guru dan entah apa lagi kes lepas ini, maka sekarang bukan lagi masa untuk mana-mana pihak khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) beretorik, sekarang bukanlah masa untuk menunjukkan kononnya tindakan sudah dilakukan sedangkan hasilnya entah ke mana. Tetapi ini adalah masa untuk mencari satu kaedah yang mampu menghentikan ‘kegilaan’ yang sedang melanda sekolah-sekolah di negara ini.
KPM khususnya bertanggungjawab sepenuhnya untuk mencari jalan penyelesaian berkenaan. Tidak ada lagi alasan yang harus diberikan. Penulis pasti apapun permintaan dan apapun kehendak pihak Kementerian, ia pasti akan ditunaikan oleh kerajaan.
Kita sudah bosan mendengar setiap kali berlalu sesuatu, akan ada pengumuman penubuhan jawatankuasa khas itu dan ini tetapi hasil entah ke mana. Baguslah hari ini Menteri Pendidikan mengumumkan lima komponen utama reformasi serta-merta pendidikan dalam usaha memastikan sekolah menjadi premis lebih selamat untuk semua.
Bercakap di sidang Dewan Rakyat Fadlina berkata, aspek kesihatan mental dan larangan keras membawa bahan terlarang dan berbahaya, antara lima komponen utama reformasi.
Penulis berharap, lima komponen itu benar-benar sudah dikaji, diteliti dan mendapat pandangan pakar-pakar bidang pendidikan bukan setakat datang dari kementerian semata-mata kerana hasilnya boleh dijangkakan.
Ia memandangkan kalau dilihat, semua perkara itu pada dasarnya sudah ada di sekolah-sekolah cuma nama sahaja berbeza. Apa yang lebih penting bukan istilah reformasi atau tidak, bukan soal berapa banyak elemen tetapi keberkesanan. Ini bukan soal dari segi fizikal persekitaran sekolah selamat semata-mata tetapi juga memastikan insan-insan di dalamnya mempunyai jati diri yang baik.
Timbul juga persoalan dengan menggunakan istilah ‘dikerah’ bagi menggambarkan ketegasan dalam memberi arahan kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah melaksanakan reformasi itu secara praktikal dan efisien, apakah pihak yang ‘dikerah’ tersebut berupaya melakukannya? Maksudnya dari segi tenaga dan lain-lain, Adakah mereka sudah bersedia?
Bukan mudah untuk memantau atau menilai pelaksanaan elemen tersebut apatah lagi dilakukan setiap 15 hari.Kita tengoklah nanti apa yang akan berlaku. Pada masa sama penulis berharap guru tidak akan dibebankan pula dengan ‘reformasi’ ini.
Ia memandangkan beban guru sudah terlalu banyak, mereka bukan sahaja mengajar dan menguruskan peperiksaan tetapi juga urusan-urusan lain berkaitan pentadbiran. Kalau guru pun terus dibebankan dengan tugas memastikan sekolah menjadi tempat selamat…penulis tidak nampak apa yang dicadangkan oleh Fadlina akan berjaya.
Oleh itu penulis mencadangkan mungkin sudah sampai masanya Kerajaan MADANI menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pendidikan (PPKP) yang merangkumi semua pakar dalam pelbagai bidang bagi mengkaji segala aspek bagi memastikan sekolah bukan sahaja selamat tetapi mampu melahirkan generasi pelajar dan murid yang hebat dari segi moral dan akademik.
Anggota JKP boleh dilantik dalam kalangan pakar pendidikan, pakar undang-undang, pakar kaunseling, Polis Diraja Malaysia, pakar pendidikan Islam dan pakar-pakar lain yang difikirkan sesuai. Kesemua pakar-pakar ini akan turun padang melihat dan mengkaji sendiri situasi di sekolah-sekolah.
Dalam bahasa mudahya, ia bagaikan anggota tribunal yang menyiasat punca sehingga ke akar umbi apa sebenarnya berlaku di sekolah-sekolah negara ini. Hasilnya nanti diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan apa sahaja cadangan oleh PPKP dipatuhi oleh Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Pendidikan dan Sekolah-Sekolah.
Apapun buat masa ini kita harus memberi kepercayaan kepada KPM untuk mengatasi krisis yang melanda kerana apa yang berlaku dalam kalangan pelajar dan murid sekolah amat membimbangkan. Jangan biar merebak…kalau merebak.. maka Perdana Menteri harus merombak Kementerian Pendidikan ‘seluruhnya’ (perkataan P.Ramlee filem Tiga Abdul).
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4496″]


