Dua daripada empat pelajar lelaki berusia 17 tahun yang disyaki terbabit dalam kes rogol pelajar Tingkatan Tiga dan merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit dihadapkan ke Mahkamah Kanak-kanak Alor Gajah, Melaka hari ini.
Kedua-dua mereka yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu didakwa di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee atas tiga pertuduhan merogol secara berkumpulan, melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii serta amang seksual fizikal.
Namun hanya seorang daripada mereka membuat pengakuan bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut manakala seorang lagi mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka bersama-sama didakwa melakukan rogol secara berkumpulan terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun lapan bulan yang juga pelajar Tingkatan Tiga, lapor Sinar Harian.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun, sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, mereka masing-masing didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377B yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Mengikut pertuduhan ketiga, mereka didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang payudara mangsa.
Susulan itu mereka didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman sama, sabit kesalahan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah kelas Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Alor Gajah kira-kira jam 2.50 petang pada 30 September lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Ahmad Sazali Omar yang memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius dan mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan terhadap setiap tertuduh.
Peguam Chua Yong Yi yang mewakili tertuduh pertama memohon jaminan rendah kerana teruduh berdepan masalah kesihatan termasuk baru menjalani pembedahan Sinus selain menghidap penyakit angin pasang.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakli tertuduh kedua memohon jaminan rendah selain tertuduh juga bersedia dengan sebarang syarat ditetapkan oleh mahkamah.
Majistret Dr Shu Yee kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi pertuduhan pertama dan masing-masing RM1,500 bagi pertuduhan kedua dan ketiga dengan jumlah keseluruhan jaminan RM7,000.
Mahkamah juga menetapkan 26 November depan sebagai tarikh serahan dokumen bagi tertuduh pertama selain laporan akhlak bagi tertuduh kedua sebelum menjatuhkan hukuman.


