Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad mengenai masalah di sekolah yang ‘disimpan di bawah karpet’ baru-baru ini, telah disalah tafsir.
Beliau berkata, kenyataan Azam Ahmad itu bukan bermaksud menunjukkan kementerian atau pihak sekolah cuba menyembunyikan salah laku, sebaliknya merujuk kepada hakikat bahawa beberapa isu sebenarnya sudah pun diketahui oleh guru, pentadbir sekolah, kaunselor atau pejabat pendidikan.
Namun, katanya, banyak kes seperti itu tidak dianggap serius, menyebabkan tiada tindakan segera diambil.
Fadhlina berkata demikian ketika menjawab soalan Salamiah Nor (PN-Temerloh) mengenai langkah yang diambil Kementerian Pendidikan bagi memastikan insiden seperti kes rogol berkumpulan di sebuah sekolah di Melaka baru-baru ini tidak berulang.
Semalam, Dr. Mohd Azam Ahmad mengingatkan semua pihak untuk tidak cuba menyembunyikan sebarang insiden negatif melibatkan institusi pendidikan.
Hanya dalam tempoh tiga bulan selepas dilantik, Mohd Azam berkata dia mendapati banyak insiden negatif seperti gangguan seksual dan buli “disimpan di bawah karpet”.
Beliau mengingatkan bahawa semua insiden negatif mesti dilaporkan dan menjadi tanggungjawabnya mendedahkan perkara seumpamanya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Jika semua mahu disimpan dalam karpet, seolah-olah hanya perkara baik sahaja yang ada… tetapi hakikatnya ada sesuatu yang berlaku.
“Ini umpama duri dalam daging dan umpama bom atom yang hanya tunggu untuk meletup sahaja. Ia memang menyedihkan (kes negatif di sekolah) dan tiga bulan saya memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah, banyak data dalam gejala ini saya kutip,” katanya dipetik Berita Harian.
Pada 2 Julai 2024 lalu Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan akan memastikan tiada lagi kes buli di sekolah yang disembunyikan ‘bawah karpet’ atau dipanggil sweep under the carpet.
Beliau berkata, kementerian memberi perhatian penuh terhadap perkara itu, dengan menambah baik garis panduan pengendalian insiden buli di peringkat institusi KPM, menerusi kerjasama semua agensi termasuk polis dan pihak berkepentingan sekolah.
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4496″]


