Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, dakwaan yang tersebar mengatakan bahawa pihak sekolah mengetahui suspek yang menikam pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya Selasa lepas mempunyai masalah mental adalah tidak benar.
Sebaliknya, kata beliau pihak sekolah mengetahui suspek hanya mempunyai masalah pembelajaran.
”Saya berpendapat tidak adil untuk saya memberikan komen tentang keadaan mental tersebut kerana pihak polis bukan pakar psikiatri, jadi kita perlu merujuk kepada pakar yang sepatutnya, dari segi fizikal, keadaan semasa nampak okey, itu saja saya boleh katakan.
”Setakat siasatan hingga kini, saya dimaklumkan bahawa suspek ada menjalani proses kaunseling pemulihan untuk membaiki dari segi kaedah pembelajaran dia, bukan dari segi kesihatan mental atau personaliti dia, perkara ini diuruskan oleh pihak sekolah,” katanya lapor Bernama.
Shazeli berkata pihaknya juga sedang melihat kepada pengaruh permainan video serta kandungan media sosial tertentu yang berkemungkinan menjadi faktor pendorong kepada tindakan kejam itu.
Beliau berkata sebanyak dua lagi individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan hari ini selain hasil bedah siasat terhadap mangsa remaja perempuan itu akan diketahui dalam masa sebulan.
”Polis kini sedang meneliti semua aspek termasuk motif dan pengaruh luar yang mungkin mendorong tindakan suspek,” katanya.
Semalam, media melaporkan remaja lelaki yang menikam rakan sekolahnya itu sehingga maut didapati meminati mangsa secara rahsia.
Mahkamah Majistret semalam turut membenarkan reman selama tujuh hari terhadap remaja itu bagi membantu siasatan.
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4496″]


