1.7 juta pengundi layak mengundi PRN Sabah pada 29 November ini – SPR

Sebanyak 1,784,843 juta pengundi yang layak akan menjalankan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun.

Sambil memaklumkan penamaan calon akan diadakan pada 15 November dan pengundian awal pada 25 November, Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan bagi PRN kali ini ialah Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2025 yang dikemas kini hingga 5 Oktober lepas melibatkan 1,784,843 pemilih.

‘’Mereka terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera serta pasangan dan 12,729 anggota polis serta pasangan yang dibenarkan membuat semakan maklumat pengundian mulai 1 November ini,’’ katanya pada sidang media khas di Kota Kinabalu.

PRN Sabah diadakan selepas  Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 6 Oktober lalu.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan, manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik.

Ramlan berkata SPR akan melantik sebanyak 33,002 petugas bagi melancarkan proses pilihan raya negeri itu.

‘’ Sebanyak 940 pusat mengundi dengan 3,645 saluran akan digunakan pada pilihan raya terbabit, melibatkan 882 pusat mengundi biasa dengan 3,558 saluran, manakala 58 pusat mengundi dengan 87 saluran pula disediakan untuk proses pengundian awal. PRN Sabah ke-17 ini dianggarkan memerlukan peruntukan RM116.8 juta,” katanya.

Beliau berkata SPR melantik 25 pegawai pengurus pilihan raya bagi menjalankan proses pilihan raya terbabit dengan dibantu 196 penolong pegawai pengurus.

SPR juga, kata beliau akan menubuhkan 86 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya yang turut dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon bertanding.

“(Pasukan itu) bertujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen,” katanya dan menambah bahawa 25 pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan pada pilihan raya itu.

 


 

UNDILAH

[forminator_poll id=”4496″]

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img