SEBUAH kereta bernombor pendaftaran Singapura mencetuskan kekecohan apabila selepas memandu meninggalkan stesen dengan kepala hos pam masih terpasang pada kenderaan itu.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah stesen minyak Shell di Jalan Skudai, Johor kira-kira jam 10.15 malam pada Jumaat lalu.
Menurut saksi kejadian, Chen Zi Xin, ibu bapanya sedang mengisi minyak di stesen sama apabila mereka terdengar bunyi kuat sebelum mendapati salah satu kiosk di hadapan mereka runtuh dan rosak teruk.
“Kami nampak sebuah kereta beberapa meter dari kiosk itu dengan penutup tangki minyak masih terbuka dan paip pengisian masih tersangkut pada kereta berkenaan,” katanya lapor Shin Min Daily News
Chen turut memuat naik beberapa gambar dan video kejadian di Facebook, menunjukkan seorang pekerja stesen berlari ke arah kiosk yang runtuh manakala seorang lelaki keluar dari kereta berkenaan.
Beliau berkata, bapanya melihat pekerja stesen cuba menahan dan menegur pemandu tersebut, mereka sekeluarga segera meninggalkan kawasan itu kerana bimbang berlaku letupan.
“Kami takut stesen itu mungkin meletup, jadi kami cepat-cepat beredar dari situ,” katanya.
Menurutnya lagi, beberapa pelanggan lain turut terpaksa menghentikan pengisian minyak selepas pihak stesen menghentikan operasi sementara bagi tujuan keselamatan.
Seorang pekerja Shell yang bertugas ketika kejadian memaklumkan kepada Shin Min Daily News bahawa laporan polis telah dibuat dan syarikat insurans turut dihubungi bagi menguruskan tuntutan kerosakan.
Pekerja itu juga menjelaskan bahawa pemandu kereta terbabit, seorang lelaki warga Singapura berusia dalam lingkungan 30-an, berulang kali memohon maaf, serta berada di lokasi kejadian sehingga kira-kira jam 3 pagi untuk membantu siasatan.
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4900″]


