Arab Saudi  umum syarat baru kesihatan tunai  haji tahun depan

BEBAS  daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal dan berupaya menjalankan ibadat haji dengan sendiri adalah syarat yang perlu dipatuhi untuk memperoleh visa haji.

Selain itu jemaah tidak dianggap layak untuk mengerjakan ibadat haji sekiranya mengalami kegagalan buah pinggang kronik, kegagalan jantung atau penyakit jantung serius dan penyakit paru-paru kronik.

Perkara itu merupakan syarat kesihatan untuk menunaikan haji bagi musim 1447/2026 yang ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Ketika memaklumkan perkara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad berkata, syarat lain dari segi kesihatan yang wajib dipatuhi bakal jemaah ialah mereka tidak mempunyai penyakit hati kronik, masalah neurologi atau mental yang menjejaskan fungsi kognitif atau motor, warga emas dengan dementia atau fizikal lemah, kehamilan berisiko tinggi, penyakit berjangkit aktif dan penyakit kanser yang sedang dalam rawatan

‘’Pada tahun depan, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi tidak lagi membenarkan TH untuk membuka Pusat Rawatan di Tanah Suci. Oleh itu jemaah haji yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke hospital-hospital yang disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi dengan bantuan pemantauan rapi pakar-pakar perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“TH juga telah merancang untuk menyediakan kemudahan kesihatan di hospital swasta Arab Saudi sekiranya perlu. TH dengan kerjasama KKM menyediakan 225 petugas kesihatan pada musim haji 1447H/2026M,” katanya dalam kenyataan.

Mustakim menegaskan,  keperluan tahap kesihatan yang baik adalah salah satu syarat kemampuan mengerjakan haji (istito’ah) yang sentiasa ditekankan dalam resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan.

Beliau berkata, seperti mana syarat menerima tawaran haji sebelum ini, bakal haji perlu lulus pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan pihak KKM dan  TH akan terus memastikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik bagi setiap jemaah haji Malaysia.

“Jemaah haji juga perlu membuat persediaan kesihatan fizikal secukupnya kerana mereka akan berada di Arab Saudi dalam tempoh yang lama dan melalui suasana berdebu dan cuaca yang panas,” katanya.

Beliau berkata, TH sentiasa mengutamakan keselamatan, kebajikan dan keselesaan jemaah haji Malaysia sebagai teras dalam pengurusan operasi haji setiap tahun.

“Seperti mana tahun-tahun sebelumnya, TH sememangnya memandang serius dan mengutamakan aspek kesihatan jemaah haji terutama ketika berada di Tanah Suci.

“Atas dasar itu, setiap tahun TH akan memperuntukkan sebahagian besar alokasi petugas Tanah Suci kepada petugas perubatan daripada KKM. Bagi musim haji 1447H/2026M, TH masih menyediakan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah Haji di Mekah dan Madinah.

“Setiap bangunan akan dilengkapi dengan klinik pesakit luar dan farmasi yang dikendali petugas kesihatan bertauliah dari KKM bagi kesinambungan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada jemaah haji negara termasuk pengiring kepada jemaah warga emas dan kelainan upaya,” katanya.


 

UNDILAH

[forminator_poll id=”4900″]

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img