PESAWAT pejuang Israel melancarkan lebih daripada 20 serangan udara ke atas beberapa kawasan di seluruh Semenanjung Gaza pada Ahad, mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang awam termasuk seorang wartawan, ketika keganasan Israel terus meningkat walaupun gencatan senjata masih berjalan.
Tentera Israel mendakwa Hamas telah melanggar perjanjian gencatan senjata, namun pihak pejuang Palestin menolak dakwaan itu, menegaskan bahawa Israel sendiri yang terus melanggar perjanjian dan mencari alasan untuk meneruskan serangan.
Serangan udara dan artileri dilaporkan mengenai Rafah dan Khan Younis di selatan Gaza, al-Zawaida dan al-Nuseirat di kawasan tengah, serta Jabalia di utara.
Media Israel melaporkan bahawa serangan itu dilakukan selepas dakwaan berlaku serangan oleh pejuang Palestin terhadap kenderaan tentera Israel di Rafah. Hospital-hospital di Gaza melaporkan peningkatan jumlah korban.
Menurut Hospital Shuhada’a Al-Aqsa, dua orang terbunuh — termasuk seorang wartawan — selepas serangan mengenai bangunan yang menempatkan wartawan di al-Zawaida. Enam lagi turut maut di kawasan yang sama.
Di Hospital Al-Awda, doktor mengesahkan tiga kematian dan beberapa kecederaan selepas peluru berpandu Israel mengenai Kem Al-Nuseirat. Dua lagi penduduk Palestin terbunuh berhampiran Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, menurut sumber perubatan.
Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu, Israel telah membunuh lebih 50 penduduk Palestin dan mencederakan lebih 150 orang. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu — yang masih dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) — mengarahkan “tindakan balas yang tegas” terhadap apa yang didakwanya sebagai “pelanggaran oleh Hamas”.
Berikutan insiden Rafah yang didakwa itu, Netanyahu mengadakan mesyuarat keselamatan tergempar dan mengarahkan tentera melancarkan serangan ke atas “sasaran-sasaran tertentu” di seluruh Gaza, menurut kenyataan pejabatnya.
Israel turut mengenakan sekatan media (gag order) dengan melarang media tempatan menyiarkan sebarang butiran mengenai insiden Rafah tersebut.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, memberi amaran bahawa “Hamas akan membayar harga yang tinggi” dan mengancam untuk meningkatkan lagi serangan jika kumpulan itu “tidak menerima mesej yang disampaikan”.
Penyiar nasional Israel melaporkan bahawa tentera telah menyerang 20 sasaran di seluruh Gaza dalam masa satu hari susulan insiden Rafah yang didakwa itu.
Menurut portal Axios, Israel tidak mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada Washington bagi serangan udara baharu tersebut, tetapi memaklumkan kepada US Central Command yang memantau pelaksanaan gencatan senjata.
Seorang pegawai AS memberitahu portal itu bahawa Washington telah menggesa Israel bertindak secara “seimbang” dan menunjukkan “tahap kawalan diri”.
Sementara itu, seorang lagi pegawai AS memberitahu Al Jazeera bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump kini sedang berunding dengan perantara serantau untuk mengelakkan peningkatan konflik dan mengekalkan gencatan senjata.
Sayap tentera Hamas, Briged al-Qassam, menafikan dakwaan Israel itu.
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4900″]
“Kami menegaskan komitmen penuh terhadap perjanjian gencatan senjata di semua kawasan Semenanjung Gaza,” kata kumpulan itu di saluran Telegram rasmi mereka.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa para pejuangnya tidak mempunyai sebarang perhubungan dengan kawasan selatan Rafah yang kini dianggap sebagai “zon merah” di bawah kawalan penuh tentera Israel sejak perang disambung semula pada bulan Mac.
“Kami tidak mempunyai maklumat mengenai anggota kami di kawasan itu — sama ada mereka masih hidup atau telah syahid,” tambah kenyataan tersebut. Hamas turut mengeluarkan laporan terperinci yang mendokumentasikan pelanggaran Israel terhadap Perjanjian Sharm el-Sheikh sejak hari pertama gencatan bermula.
Pergerakan itu menegaskan bahawa Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan perjanjian tersebut dan menyeru para perantara antarabangsa untuk campur tangan segera bagi menghentikan pencerobohan dan memastikan pelaksanaan penuh gencatan senjata.


