WALAUPUN berkemungkinan berhadapan dengan tindakan disilin daripada kepimpinan Bersatu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah tetap mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatannya sebagai Presiden parti itu.
Beliau mendakwa bekas Perdana Menteri itu sudah kehilangan kualiti kepimpinan yang pernah dimiliki sebelum ini dan tidak lagi menunjukkan ciri kepimpinan berasaskan adab, ilmu dan kemahiran seperti ketika awal menubuhkan parti berkenaan.
“Pokoknya, dia (Muhyiddin) sudah hilang kualiti kepimpinan. Dia tidak lagi Tan Sri Muhyiddin yang kita kenal sebelum ini,” katanya lapor Berita Harian.
Beliau turut mempersoalkan cara Muhyiddin menguruskan kepimpinan tertinggi parti yang disifatkannya tidak lagi inklusif, termasuk kegagalan mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
“Dia tak panggil mesyuarat MPT, bagaimana nak bincang? Dia tak dapat cari menantu dia, bagaimana kita nak cari dia?” katanya.
Selain mendesak Muhyiddin berundur, Saifuddin turut meminta dua pemimpin utama parti iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tun Faizal Ismail Aziz melepaskan jawatan masing-masing.
Beliau mendakwa, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang dilantik semula ke jawatan parti, turut perlu menyelesaikan dua isu utama yang menjejaskan kredibilitinya.
“Azmin ada dua perkara. Pertama, dia harus selesaikan dulu isu video dia. Kedua, dia kini menjadi terlalu autokratik. Contohnya, baru-baru ini dia keluarkan surat yang bersifat drakonian,” katanya.
Sementara itu, beliau juga menyifatkan Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal gagal menjalankan peranan sebenar dalam menyampaikan maklumat parti, sebaliknya lebih menonjol sebagai ‘ketua provokasi’.
“Tun Faisal tidak menjalankan tugas sebagai Ketua Penerangan. Dia lebih kepada ketua provokasi. Lihat sahaja posting-posting dalaman dia, ramai ketua bahagian boleh sahkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan bahawa desakan yang dibuat beliau dan beberapa pemimpin lain bukan bertujuan menjatuhkan parti, sebaliknya bagi menyelamatkan Bersatu daripada terus terjejas akibat kepimpinan sedia ada.


