Tribunal Antarabangsa Gaza putuskan tindakan Israel adalah pembunuhan beramai-ramai

”Bukti yang dikemukakan sepanjang sesi tersebut menunjukkan satu “pola keganasan pemusnahan yang konsisten dan menyeluruh” terhadap penduduk awam Gaza, dilakukan melalui pembunuhan, menghancurkan infrastruktur dan menghapuskan identiti budaya secara sengaja.”

TRIBUNAL Rakyat Gaza mengeluarkan penghakiman akhir yang menyifatkan tindakan Israel di Semenanjung Gaza sebagai genosid, sambil mengecam kegagalan masyarakat antarabangsa untuk bertindak dan menegaskan tanggungjawab masyarakat sivil apabila negara-negara gagal menjalankan peranan mereka.

Tribunal Rakyat Gaza, sebuah inisiatif masyarakat sivil antarabangsa yang terdiri daripada pakar undang-undang, ahli akademik dan aktivis hak asasi manusia, menyimpulkan bahawa Israel sedang melakukan pemusnahan sistematik terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Pengumuman itu dibuat pada Ahad di Universiti Istanbul, Turkiye di mana Tribunal membentangkan kenyataan akhir dan penghakiman moralnya selepas empat hari sesi pendengaran awam. Prosiding ini menandakan kemuncak kepada proses selama setahun yang bermula di London pada November 2024 dan diteruskan di Sarajevo awal tahun ini.

Panel tribunal itu diketuai oleh Profesor Christine Chinkin, pakar dalam undang-undang antarabangsa, dan dipengerusikan oleh Profesor Richard Falk, bekas Pelapor Khas PBB mengenai Hak Asasi Manusia di Wilayah Palestin. Para juri yang datang dari pelbagai benua meneliti testimoni saksi, pakar undang-undang dan mangsa yang terselamat.

Menurut panel berkenaan, bukti yang dikemukakan sepanjang sesi tersebut menunjukkan satu “pola keganasan pemusnahan yang konsisten dan menyeluruh” terhadap penduduk awam Gaza, dilakukan melalui pembunuhan, menghancurkan infrastruktur dan menghapuskan identiti budaya secara sengaja.

Dalam kenyataan akhir mereka, para juri menegaskan bahawa tribunal ini tidak bercakap atas nama mana-mana negara, tetapi sebagai saksi moral terhadap kelumpuhan undang-undang antarabangsa.

Dipandu oleh hati nurani dan prinsip undang-undang antarabangsa, mereka menyatakan bahawa “apabila undang-undang dibisukan oleh kuasa, hati nurani mesti menjadi tribunal terakhir.”

Tribunal ini digambarkan sebagai satu reaksi masyarakat sivil terhadap kegagalan berterusan komuniti antarabangsa untuk menuntut pertanggungjawaban Israel. “Genosid di Gaza adalah urusan seluruh umat manusia,” kata mereka. “Apabila negara-negara berdiam diri, masyarakat sivil mesti bersuara.”

Tribunal itu turut menegaskan bahawa ia telah mengumpulkan dokumentasi yang luas – termasuk keterangan saksi, analisis pakar, dan dokumen undang-undang — yang kini membentuk arkib kekal kebenaran tentang genosid terhadap rakyat Palestin.

Tribunal Gaza mengemukakan satu set syor menyeluruh kepada masyarakat antarabangsa, menyeru supaya semua pihak yang bertanggungjawab terhadap genosid di Gaza  sama ada secara politik, ketenteraan, ekonomi mahupun ideologi dipertanggungjawabkan sepenuhnya melalui segala saluran undang-undang yang sah dan mengikut sepenuhnya piawaian undang-undang antarabangsa.

Tribunal menegaskan bahawa akauntabiliti mesti turut meliputi mereka yang menyokong atau mengekalkan jenayah tersebut, sama ada melalui pemindahan senjata, perlindungan diplomatik, atau kerjasama ekonomi.

Tribunal turut menggesa penggantungan keahlian Israel dalam organisasi dan institusi antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta agensinya, sehingga Israel mematuhi kewajipan antarabangsa dan menghentikan pelanggaran berterusan terhadap rakyat Gaza.

Ia menyeru Perhimpunan Agung PBB agar mengaktifkan Resolusi 377 bagi melaksanakan tindakan kolektif untuk melindungi rakyat Palestin termasuk penubuhan pasukan perlindungan antarabangsa di Gaza dan Tebing Barat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img