AHLI Parlimen Indera Putra Datuk Saifuddin Abdullah digugurkan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang tidak sampai 48 jam beliau menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu.
Turut digugurkan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban Dr Yadzil Yaakub sebagai Pengerusi PN Melaka. Tempat Saifuddin digantikan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Ketua Pembangkang DUN Pahang manakala Ketua Wanita PN, Dayu Mas Ermieyati Samsudin menggantikan Dr Yadzil.
Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim pula menggantikan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli sebagai Pengerusi PN negeri itu.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengumumkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kekal Pengerusi PN Kedah, Dr Sahruddin Jamal (Johor), Datuk Ahmad Yakob (Kelantan), Mohamed Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan) dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak).
Datuk Dominic Lau Hoe Chai (Pulau Pinang), Ronald Kiandee (Sabah), Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (Sarawak), Mohamad Azmin (Selangor), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu) dan Datuk Dr. Radzi Jidin (Wilayah Persekutuan).
Beliau berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN dipengerusikan Muhyiddin selaku Pengerusi PN, malam ini.
“Majlis Tertinggi bersetuju dengan pelantikan pengerusi negeri yang baharu sebagai sebahagian usaha memperkukuhkan wadah perjuangan PN sebagai gabungan politik yang inklusif, progresif dan prihatin rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Pengguran Saifuddin dan Dr. Yadzil bukan sesuatu yang mengejutkan kerana mereka dilihat tidak sehaluan dengan Muhyiddin yang kini berhadapan dengan tekanan untuk meletakkan jawatan.


