PRESIDEN Cameroon berusia 92 tahun, Paul Biya, diumumkan sebagai pemenang pilihan raya yang dipertikaikan hebat oleh Majlis Perlembagaan negara Afrika Tengah itu.
Menurut keputusan rasmi yang diumumkan hari ini, Biya memperoleh 53.7% undi, mengatasi pencabar utamanya Issa Tchiroma Bakary yang meraih 25% undi, sekali gus melayakkan beliau untuk penggal kelapan, yang boleh mengekalkannya di tampuk kuasa sehingga hampir mencecah usia 100 tahun.
“Dengan ini diisytiharkan sebagai Presiden terpilih: calon Biya Paul,” kata Clement Atangana, Presiden Majlis Perlembagaan.
Biya, yang mula memegang jawatan pada 1982, mengekalkan cengkaman kuat terhadap kuasa selama lebih empat dekad, termasuk memansuhkan had tempoh jawatan presiden pada 2008 dan terus menang dalam pilihan raya berikutnya dengan majoriti selesa.
Beliau naik ke tampuk kuasa selepas menyingkirkan pendahulunya, Ahmadou Ahidjo, dengan janji membawa reformasi liberal — namun kemudian mengukuhkan penguasaannya ke atas institusi negara.
Sepanjang pemerintahannya, Biya dipuji atas pengembangan sistem pendidikan dan universiti awam, serta kejayaannya menyelesaikan pertikaian wilayah Bakassi yang menyebabkan semenanjung kaya minyak itu diserahkan kepada Cameroon, bukan Nigeria.
Namun, di bawah pentadbirannya, negara itu kini bergelut dengan pemberontakan pemisah bersenjata di wilayah berbahasa Inggeris, kadar pengangguran belia mencecah 40%, kemudahan asas seperti jalan raya dan hospital merosot, dan kebebasan bersuara semakin terhad.
Cabaran terbesar Biya tahun ini datang daripada Issa Tchiroma Bakary, bekas jurucakap kerajaan dan Menteri Pekerjaan berusia lewat 70-an. Beliau meninggalkan pentadbiran Biya awal tahun ini dan melancarkan kempen yang menarik sokongan besar daripada gabungan parti pembangkang serta kumpulan masyarakat sivil.


