POLIS menemukan sekeping kertas nota berbaur ugutan di perkarangan rumah lokasi kejadian sebuah kereta terbakar dipercayai angkara perbuatan khianat di Jalan Sri Lalang di Kluang, Johor semalam.
Kejadian berlaku pada jam 4 pagi menyebabkan mangsa seorang lelaki berusia 31 tahun segera mengalihkan kenderaan lain bagi mengelak api merebak ke seluruh rumah.
Difahamkan ketika kejadian, mangsa bersama isteri dan anak lelaki berusia setahun sedang tidur sebelum dikejutkan oleh jiran memaklumkan kereta Toyota Camry miliknya terbakar.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima panggilan kecemasan pada jam 4.16 pagi memaklumkan berlaku kebakaran di sebuah rumah di Jalan Sri Lalang.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kereta milik mangsa yang diletakkan di perkarangan rumah terbakar selain penemuan sekeping kertas berbaur ugutan di tempat kejadian.
“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh Bomba dan Penyelamat Kluang pada jam 4.30 pagi,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.
Kata Bahrin, pasukan forensik daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor juga menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api dan Seksyen 506 kanun sama kerana ugutan.
“Ketika ini, polis masih mengesan suspek dipercayai terbabit dalam kejadian itu,” katanya.
Orang ramai mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung dengan IPD Kluang di talian 07-778 4222 (hotline) atau 07-776 6822.


