PAS hari ini menggesa semua rakyat Malaysia agar kekal peka dan bersama-sama mempertahankan maruah serta kedaulatan negara daripada ‘penjajahan ekonomi baharu’ yang terselindung di sebalik nama perdagangan dan digitalisasi.
Sehubungan itu kata Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari, Pas memantau dengan dekat dan serius perkembangan berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) yang turut mendapat tentangan meluas daripada pelbagai pihak, termasuk ahli akademik dan pakar undang-undang.
‘’Pas sedia mempertimbang mengambil tindakan undang-undang dan menganjurkan himpunan mega ‘Turun Anwar 2.0’ dalam usaha menghentikan kerosakan melalui perjanjian itu.
“Pas tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan beberapa langkah termasuk menggerakkan tindakan memfailkan semakan kehakiman dan menggerakkan Himpunan Mega ‘Turun Anwar 2.0’ bagi memastikan tindakan menggadaikan kedaulatan negara dapat dihentikan.
“(Langkah lain termasuk) mengadakan forum menghimpunkan tenaga profesional dan ahli akademik bagi membongkar implikasi perjanjian tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Isnin lalu, Jabatan Peguam Negara berkata, Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan ART dengan AS pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis.
Katanya, penamatan perjanjian itu boleh dilakukan tanpa memerlukan persetujuan AS, berdasarkan peruntukan bawah Perkara 7.5 ART, yang bertujuan mempertahankan dan memelihara kedaulatan Malaysia serta melindungi kepentingan negara pada setiap masa.
Sebelum ini, blok pembangkang turut membangkitkan dakwaan bahawa kandungan ART boleh menjejaskan kedaulatan negara.


